Tuesday 4 June 2013

:: Apa pilihan saya ::

Maaf teman, kita memang ditakdirkan untuk menjadi teman sahaja
sepanjang perjalanan menuju puncak, memang kita daki bersama
walau ada langkah yang tak sama, tapi kita saling setia mengiringi

maaf teman, andai aku pernah melukakan perasaan kamu
aku hanya insan biasa, yang belajar untuk kenal dunia
dan kamu, sebahagian guru terbaik yang aku ada
memang tidak pernah terjangka, akan wujudnya sebuah rasa
aku sedar dan menafikannya

maaf teman, aku tahu kau kalah dengan perasaan sendiri
hingga mengheret kau kecewa, kau ubah pendakian kita,
kau biarkan aku ke puncak sendirian, dan kau berhenti di persinggahan
aku juga kecewa, tapi tak mampu untuk bersama tika itu
aku teruskan langkah dengan harapan dan doa untuk kau, teman !

terima kasih teman,
saat aku hilang kekasih setia...
saat dikhabarkan kekasihku kembali menemui Yang Maha Pencipta
saat itu kau satu-satunya teman yang tak membiarkan aku walau seminit
kau ajar aku pujuk jiwa, kau ajar aku erti kecewa, kau ajar aku jangan binasa
kau ajar aku bertatih semula..
kau ajarkan dia yang kita declare adik kita
untuk jadi setia masa aku berduka

terima kasih teman,
kau damaikan kami yang berselisih faham
kau marahkan aku yang macam kebudak-budakkan
kau bimbing aku kenal siapa lawan dan siapa kawan
walau kau, aku kecewakan

terima kasih teman,
dalam resah, dalam kecewa, kau hadir meraikan aku di puncak itu
jujur mengaku, saat kaki singgah di lantai lapangan terbang,
melihat kau tersenyum menunggu di ketibaan, luluh hati terharu
betapa hebatnya kau didik perasaan mu itu
kau teman berhati mulia, berhati tulus,
dan aku terasa kejam menyeksa

terima kasih teman..
kau raikan aku, kau raikan keluargaku
sekali lagi airmata laju jatuh bila kau setia berdiri bersama keluargaku
menanti aku untuk dirai pada hari jubah itu
janji aku, kita sama-sama raikannya
janji kau, kau tak akan meraikannya jika kita tidak bersama ke puncak itu
tapi...
kau mungkir janji, dan kau raikan aku.
mulianya hati kau, teman !

maaf wahai teman...
kala kau runsing, aku bukan lah teman terbaik untuk kau berkongsi rasa
malah, aku menambah rungsing
buat kau pening dengan pelbagai dongeng, angan-angan kartun,
buat kau marah dengan fantasi tak logik
buat kau herdik aku minta berhenti menjadi lupa diri
dan akhirnya kita ketawa menghapus rungsing

aku bukan lah teman tebaik untuk kau luah segalanya
tapi kau teman terbaik untuk aku berpaut segala rasa

maaf tak terkata wahai teman
aku tidak mahu hilang rasa indah bertemankan kamu berhati mulia
dan itu juga membuatkan aku pilih untuk menolak apa yang kau rasa
aku pilih untuk melihat kau berjaya dunia akhirat
dan terpaksa desak kau agar tak jadi anak yang derhaka

terima kasih teman...
walau kau sengsara, kau tetap berhati mulia

maaf entah keberapa kali
kali ini, aku memang akan mengecewakan kau lagi
dan kali ini aku memang pasti
aku tak mampu muncul di saat mama abah tersenyum bahagia
merai hari yang dirancang sekian lama
walau kau rasa terpaksa, percayalah...dihadapan nanti ada bahagia
aku doakan kau bahagia, bahagia hingga akhirnya
dengan restu mama, Insya-Allah kau dan dia bahagia

saat tadi, kita masih boleh berbicara mesra
kau masih sama, tak pernah lupa jadi reminder
kau masih bersusah payah untuk pastikan aku tak derita
kau masih usahakan agar urusanku mudah

wahai teman berhati mulia
aku sanjung pengorbanan rasa yang kau tempuh kali ini
aku doakan agar besar ganjaran untuk kau raih nanti
aku tekad tidak meraikan hari yang dikatakan hari bahagia
sedangkan kau derita

apa aku pilih, kau harus hormati
aku yakin dengan apa yang selama ni aku rasa
aku...kau sekadar berteman sahaja
kita tidak ditakdirkan untuk berkongsi segalanya
mohon redha meredhai takdir terbaik dari-Nya

andai nanti, ada jodoh pertemuan kita,
kau akan lebih kuhormati
sebagai teman berhati mulia
sayangi dia, hormati dia, hargai dia
dan lupakan 'kita'

maaf atas pembaziran kos yang dibelanja
apa aku pilih?
aku pilih merestui kau tanpa hadir agar kau terus bahagia

Teman,
Selamat Menempuh Alam Rumahtangga